RSS

Tuesday, May 4, 2010

Cermin

بسم الله الرحمن الرحيم


Pada zaman dahulu kala, tinggallah sepasang suami isteri di sebuah perkampungan. Si suami bernama Pak Leman manakala isterinya pula bernama Mak Limah. Mereka berdua hidup bahagia semenjak mereka berkahwin lagi. Pak Leman sudah kematian ibu bapa semenjak kecil lagi dan tidak pernah sesekali melihat wajah kedua-dua ibu bapanya.


Nak dijadikan cerita, pada hari minggu Pak Leman akan ke pekan untuk membeli keperluan hidup. Maka berjalan-jalanlah Pak Leman sekitar pekan tersebut untuk mencari apa-apa yang patut. Tiba-tiba langkahnya terhenti di sebuah kedai. Dia menuju kedai tersebut. Ada sesuatu benda yang menarik perhatiannya. Apabila Pak Leman masuk ke kedai itu, dia terus mencapai suatu benda yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Maka dia terus bertanya kepada pemilik kedai itu.

"boleh saya tanya? apa nama benda ni?", tanya Pak Leman kehairanan.

"ohh, itu namanya cermin...." jawab pemilik kedai.



Tanpa berfikir panjang, Pak Leman terus membelinya dan segera pulang ke rumah. Setibanya di rumah, dia terus masuk ke bilik tanpa mengendahkan pertanyaan isterinya Mak Limah. Tergaru-garu kepala Mak Limah yang tidak gatal itu melihat perangai suaminya yang pelik. Mak Limah membiarkannya begitu sahaja.

Di dalam bilik, Pak Leman segera membuka bungkusan yang dibelinya tadi dan menatap cermin tersebut. Dalam fikirannya, berlegar-legar satu soalan.

"agak-agaknya begini rupanya wajah bapak aku", fikir Pak Leman.

"boleh tahan jugak hensem bapak aku ni...", sambung Pak Leman sambil tersengih.

Hari demi hari... minggu demi minggu... Pak Leman melakukan perkara yang sama. Menatap wajah yang disangkakan wajah ayahnya sambil memuji-muji kehenseman wajah tersebut. Kelakuan Pak Leman tersebut menyebabkan Mak Limah tertanya-tanya dan timbul syak wasangka.

"apalah yang dibuatnya dalam bilik tu??", hairan Mak Limah.

"bila keluar je... tersenyum-senyum...", semakin bertambah kehairanannya.

"tak boleh jadi ni. baik aku periksa", serius Mak Limah.

Maka Mak Limah menanti hari yang sesuai untuk memeriksa bilik. Dan tibalah hari yang dinanti-nantikan. Ketika Pak Leman ke pekan pada hari minggu sepeti yang dilakukannya sebelum ini, Mak Limah melakukan operasi pemeriksaan itu. Satu persatu almari dibuka. Namun tidak juga ketemui. Tiba-tiba, Mak Limah ternampak satu kotak di bawah katil. Perlahan-lahan dia menarik kotak tersebut. Lalu dibukanya. Maka terjumpalah cermin itu. Tersentak jantung Mak Limah melihat wajah yang terpampang pada cermin itu. Ketika itu juga, Pak Leman pulang dari pekan. Mak Limah terus berlari ke arah suaminya.

"ooo.. ni rupanya kerja awak selama ni!!", marah Mak Limah.

"kenapa ni??", Pak Leman tergaru-garu kepalanya.

"patutlah selama ni tersengih-sengih, rupa-rupanya ada perempuan lain", terjerit-jerit Mak Limah.

"dah la tak cantik, tua pulak tu. ada hati nak kahwin lain", tambah Mak Limah lagi.

Mak Limah terus mengangkat cermin itu setinggi-tinggi yang boleh lalu menghempaskannya ke lantai. Berkecai cermin itu dan bertaburan kaca-kaca di atas lantai. Ternganga mulut Pak Leman melihat wajah ayahnya sudah berkecai. Tiada apa yang mampu Pak Leman buat melainkan menitiskan air matanya. Walau bagaimanapun, Pak Leman berhasrat untuk membeli cermin lagi pada minggu depan.

-tamat-


*diceritakan drpd seorg cikgu