RSS

Wednesday, June 29, 2011

Jalan & Naik

بسم الله الرحمن الرحيم

Apabila kita memasuki bulan Rejab, pasti kita tidak akan melupakan suatu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa penting itu adalah peristiwa al-Isra’ wal Mikraj. Ianya mengandungi pengajaran besar bagi Umat Islam khasnya dan manusia amnya. Isra’ dan Mikraj membuktikan kebesaran Allah Jalla wa ‘Ala, oleh itu amat wajarlah kisah Isra’ dan Mikraj ini diimani dengan sandaran yang sahih sahaja.

Apa itu al-Isra'??...

Al-Isra’ bermaksud memperjalankan pada waktu malam. Peristiwa Isra’ bermaksud: Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W oleh Allah S.W.T pada waktu malam dari Makkah al-Mukarramah menuju ke Baitul Muqaddas di Palestin.

Dalilnya firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud :

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Apa itu al-Mikraj??...

Al-Mikraj maksudnya naik ke tempat tinggi. Maksud al-Mikraj dalam istilah adalah naiknya baginda Nabi S.A.W ke langit seterusnya ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah Jalla wa 'Ala, Tuhan yang bersemayam di atas 'Arasyh.

Dalilnya sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

'Kemudian aku dimikrajkan ke langit dunia...'-[al-Bukhari].

Rentetan Peristiwa...

Setelah kewafatan Saidatina Khadijah R.Ha dan Abu Tolib kemudian kegagalan baginda berdakwah di Thaif, baginda Nabi S.A.W mengalami perasaan sedih dan dukacita. Oleh itu, Allah S.W.T berkehendak untuk menenangkan hati baginda, menguatkan semangat baginda dan memberi anugerah istimewa buat baginda dan umatnya.

Ketika baginda sedang tidur di Hijr Ismail dalam Masjidil Haram, datanglah Malaikat Jibril A.S bersama dua lagi malaikat dalam bentuk lelaki kemudian membelah dada baginda serta mencuci hati baginda dengan air zamzam kemudian diisi dengan hikmah dan iman lalu dimasukkan semula. Baginda berada dalam keadaan antara sedar dan tidak.

Kemudian dibawakan kepada baginda Buraq yang langkahnya seluas mata memandang. Baginda S.A.W menunggang Buraq tersebut. Perjalanan baginda ditemani oleh Jibril A.S. Baginda kemudian tiba di Baitul Muqaddas lalu menambat buraq di tempat yang biasa para Nabi menambat tunggangan mereka dan solat di Masjid dua rakaat mengimamkan sekalian nabi dan Rasul terdahulu. Jibril kemudian membawa dua gelas air satu berisi susu dan satu lagi berisi arak. Baginda mengambil susu lalu meminumnya. Tindakan baginda dipuji Jibril dan dikhabarkan kepada baginda bahawa Umat baginda akan terus berada atas fitrah.

Kemudian baginda S.A.W dimikrajkan ke langit dunia. Sebaik tiba, malaikat penjaga langit akan bertanya; siapakah kamu? Jibril menjawab: Jibril. Mereka bertanya pula: Siapa denganmu. Jibril menjawab: Muhammad. Mereka bertanya pula: Sudahkah dia diutuskan? Jawab Jibril: Ya. Kemudian dibuka pintu langit dan para malaikat menyambut kedatangan baginda S.A.W. Demikianlah di setiap tingkat langit mereka ditanya dan menjawab.

Di langit pertama baginda S.A.W bertemu Nabi Adam A.S lalu Adam A.S mengucapkan: 'Selamat datang anakku yang soleh lagi nabi yang soleh'. Di kanan Adam terdapat ruh-ruh apabila dia melihatnya dia ketawa, di kirinya ada ruh-ruh hitam apabila dia melihatnya dia menangis. Jibril memberitahu baginda Nabi S.A.W bahawa ruh di sebelah kanan adalah manusia ahli syurga dan di sebelah kiri adalah ahli neraka.

Di langit kedua Nabi S.A.W bertemu dengan Isa dan Yahya Alaihimassalam.

Di langit ketiga Nabi S.A.W bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di langit keempat baginda bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di langit kelima dengan Nabi Harun A.S.

Di langit keenam baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. Apabila Nabi S.A.W hendak bergerak ke langit ke tujuh Nabi Musa A.S menangis. Apabila ditanya kepadanya dia menjawab: "Aku menangis kerana seorang muda diutus menjadi Nabi selepasku tetapi umatnya lebih banyak masuk ke syurga berbanding umatku".

Di langit ketujuh baginda S.A.W berjumpa dengan Nabi Ibrahim A.S lalu dia menyambut baginda dengan katanya: "Selamat datang anakku yang soleh dan Nabi yang soleh". Ibrahim A.S. sedang bersandar di Baitul Makmur, tempat malaikat tawaf. Baginda Ibrahim A.S berpesan: "Wahai Muhammad, sampaikan salamku pada umatmu dan beritahu pada mereka syurga itu elok tanahnya, lazat airnya dan rata tanahnya tiada berpokok, tanamannya adalah Subhanallah, wal hamdulillah, walailahaillallah wallahuakbar".

Kemudian baginda naik ke Sidratul Muntaha, sebuah pokok bidara yang sangat besar, daunnya bagaikan telinga gajah. Di sini baginda melihat Jibril A.S dalam rupanya yang asal.

Kemudian baginda naik berseorangan ke bawah 'Arasyh bertemu dengan Allah S.W.T. Allah S.W.T mendekat kepada Rasulullah S.A.W sehingga jarak baginda dengan Allah sekadar panjang anak panah atau lebih dekat. Allah S.W.T memfardhukan 50 waktu solat tetapi apabila baginda turun, Nabi Musa A.S menasihatkan baginda berjumpa Allah untuk dikurangkan waktu solat itu. Baginda berulang-alik sehingga Allah memfardhukan 5 waktu solat dan setiap 1 waktu solat diberi ganjaran 10 kali ganda sehingga 5 waktu solat itu menyamai 50 waktu solat. Diberi juga penutup surah al-Baqarah dan pengampunan dosa-dosa besar kepada mereka yang tidak melakukan syirik.

Dalam peristiwa ini juga baginda S.A.W diperlihatkan azab mereka yang mengumpat iaitu dijadikan kuku mereka daripada tembaga lalu mereka mencakar wajah dan badan mereka.

Baginda turut melihat orang-orang yang menggunting lidah mereka iaitulah mereka yang mengajar manusia kebaikan tetapi tidak melakukannya.

Baginda juga melihat 70,000 umatnya yang akan masuk ke syurga tanpa hisab.

Baginda juga melihat al-Kauthar iaitu telaga baginda dalam syurga serta empat buah sungai, dua buah daripadanya mengalir ke dalam syurga dan dua lagi di luar syurga iaitu Nil dan Furat.

Baginda turut melihat Dajjal si pembawa fitnah di akhir zaman dan melihat pokok Zaqqum yang tumbuh dalam neraka serta melihat Malaikat Penjaga Neraka.

Setiap kali baginda berjumpa dengan malaikat mereka akan berpesan: 'Wahai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam'.

Ketika berjumpa dengan Allah S.W.T baginda dapat melihat cahaya-Nya sahaja, adapun zat Allah, tidak dapat dilihat. Baginda S.A.W pernah melihat Allah dengan hatinya dalam mimpi.

Baginda diisra' dan dimikrajkan pada malam yang sama dengan ruh dan jasad baginda berdasarkan pendapat jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi ulama' tidak dapat menetapkan tarikh berlakunya peristiwa ini selain selepas kewafatan Khadijah dan Abu Talib.

Kemudian baginda turun semula ke dunia pada waktu subuh. Kaum musyrikin tidak mempercayai kisah ini lalu Allah S.W.T menampakkan baginda al-Masjid al-Aqsa sehingga baginda menceritakan rupa bentuknya kepada mereka. Abu Bakar as-Siddiq sebaik sahaja mendengar berita itu daripada kaum musyrik terus beliau berkata: "Jika lebih dari itu pun aku tetap membenarkan Muhammad kerana aku membenarkan perkhabaran langit". Semenjak itu beliau digelar as-Siddiq.

Pengajaran...

Antara pengajaran kisah al-Isra' dan al-Mikraj adalah.
• Keimanan terhadap perkara gahib merupakan asas aqidah Islam.
• Keimanan bahawa Allah S.W.T benar-benar bersemayam di atas Arasyh di atas langit ketujuh.
• Pentingnya solat lima waktu dan mulianya kedudukannya kerana Nabi S.A.W mengambilnya langsung dari Allah S.W.T.
Mulianya kedudukan Nabi S.A.W dan umat baginda berbanding umat terdahulu.
Baitul Muqaddas adalah hak milik Umat Islam, bukan milik bangsa Arab, Yahudi, dan lain-lain bangsa.
• Dosa mengumpat dan tidak beramal dengan apa yang dikatakan termasuk dosa besar.
Amalan berzikir dengan cara disyariatkan membawa kepada kebahagiaan akhirat.
Berbekam adalah sunnah.


Peringatan...

Terdapat cerita-cerita dalam Isra' dan Mikraj ini berdasar sumber yang tidak sahih yang perlu dijauhi kerana Isra' dan Mikraj termasuk perkara Usuluddin (Asas Agama) dan mereka yang mengingkarinya menjadi kufur. Wajib perkara aqidah itu disandar pada hadis-hadis yang sahih sahaja.

Antara cerita dogeng yang sering didengari adalah :
• Nabi S.A.W berhenti di beberapa tempat dalam perjalanan menuju ke Baitul Muqaddas dan bersolat di situ seperti di Beit al-Lahm.
• Kepercayaan bahawa batu besar di bawah Kubah (Dome of The Rock) memiliki keistimewaan sama ada dikatakan Nabi S.A.W menambat Buraq di situ atau batu itu hendak mengikut baginda Mikraj kedua-duanya adalah dogeng dan karut demikian juga Nabi memulakan mikraj dari batu itu adalah dusta.
• Pendapat yang mengatakan pada malam Isra' itu baginda tidur di rumah sepupu baginda Ummu Hani' adalah dogeng yang boleh mencemarkan imej Rasulullah S.A.W
• Rasulullah S.A.W diajarkan azan pada malam mikraj
• Apabila sampai di Sidratul Muntaha dan baginda hendak berjumpa Allah tiba-tiba keluar dari sebalik hijab (iaitulah cahaya yang mendinding antara Allah dan makhluk-Nya) seorang malaikat yang Jibril sendiri tidak pernah kenal. Ini adalah dusta.
• Nabi melihat di tiang arasyh yang kanan tertulis: "Muhammad Rasulullah, Aku kuatkannya dengan Ali dan Aku bantunya dengan Ali" ini adalah khurafat Syiah.
• Nabi melihat di Arsyh ada tertulis: "Muhammad Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Usman Zun Nurain dibunuh secara zalim". Ini adalah khurafat.
• Nabi melihat Malaikat Maut dan Jibril menyatakan namanya Izrail dan Izrail memberitakan kehebatan Ali. Ini adalah dusta. Tidak tsabit Izrail adalah nama Malaikat Maut.
• Nabi S.A.W menanti Allah Taala kerana Allah sedang bersolat, ini dusta yang dahsyat.
• Nabi S.A.W melihat adanya di bawah Arasyh ayam jantan dan Naga.
• Nabi S.A.W melihat umur dunia dalam rupa wanita tua.
• Nabi S.A.W bertemu qafilah kehilangan unta dan meminum air sebuah qafilah.
• Nabi S.A.W terdengar panggilan Iblis di perjalanan Isra' dan Mikraj.
Allah mendudukkan Nabi S.A.W di atas Arasyh.

والله تعالى أعلم

*Oleh : Muhammad Asrie bin Sobri

No comments: