RSS

Tuesday, July 19, 2011

Persediaan

بسم الله الرحمن الرحيم


Apabila seseorang itu ingin bermusafir, dia akan membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan. Dia akan memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang paling baik seperti enjin, tayar, minyak, cukai jalan dan sebagainya. Dia juga akan memastikan bekalan makanan dan minuman mencukupi sepanjang perjalanan.

Sama juga dengan mereka yang ingin melangkah ke alam persekolahan. Seseorang itu akan memastikan pakaian seragam sekolah sudah dibeli dan tersimpan rapi di dalam almari. Begitu juga dengan alat tulis, dia akan memastikan semuanya sudah dibeli dan diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Begitu juga halnya dengan mereka yang ingin menduduki peperiksaan terutamanya peperiksaan yang penting. Seseorang itu akan membuat persediaan menghadapi peperiksaan seperti mengulang kaji pelajaran, membuat latih tubi, berbincang dengan rakan-rakan dan sebagainya. Apabila peperiksaan sudah dekat, dia pula akan memastikan semua alat tulis yang berkaitan sudah berada dalam keadaan yang baik.

Apabila seseorang itu ingin mendirikan rumah tangga, sememangnya lebih banyak yang perlu dia lakukan termasuklah menyiapkan semua dokumen yang diperlukan, menghadiri kursus kahwin, melakukan ujian HIV dan banyak lagi. Dari segi persiapan kenduri pula, dia mestilah memastikan semuanya sudah diuruskan dengan sebaik mungkin agar segalanya berjalan dengan lancar nanti.

Bagaimana pula persediaan menghadapi bulan Ramadhan?? Adakah kita lupa bahawa untuk menghadapi bulan Ramadhan juga memerlukan persediaan?? Banyak yang kita boleh lakukan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Antaranya kita boleh melakukan puasa-puasa sunat. Kita juga boleh melatih diri kita untuk bangun di tengah malam untuk mengerjakan solat-solat sunat. Begitu juga dengan bacaan Al-Qur'an, kita hendaklah melatih diri kita untuk membaca Al-Qur'an pada setiap hari. Yang paling penting, kita mestilah menyiapkan diri kita dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bulan Ramadhan agar kita dapat menjalani tarbiyyah Ramadhan dengan sempurna.


Sama-samalah kita membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan yang hampir tiba ini supaya Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang telah lepas.



1 comment:

H.J said...

sama2 menyiapkan diri menempuh ramadhan penuh berkat