RSS

Tuesday, August 2, 2011

Ada Kesannya

بسم الله الرحمن الرحيم

Semua orang tahu bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Qur'an dan bulan di mana umat Islam digesa untuk membaca Al-Qur'an dengan sebanyak yang mungkin kerana semua amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan digandakan pahalanya. Bercakap mengenai membaca Al-Qur'an, kali ini saya akan berkongsi sedikit cerita yang berkaitan dengan membaca Al-Qur'an.

Ceritanya bermula begini...

Di sebuah kampung yang terletak di Amerika Syarikat, ada seorang datuk tinggal bersama dengan seorang cucunya di sebuah rumah. Si datuk ini sangat rajin membaca Al-Qur'an. Boleh dikatakan setiap hari dia akan membaca Al-Qur'an tidak kira pagi mahupun malam.


Nak dijadikan cerita, pada suatu hari dalam musim sejuk si datuk sedang berehat di tepi unggun api untuk memanaskan badan sambil membaca Al-Qur'an. Lalu datanglah si cucu kepada datuknya. Si cucu itu kemudiannya duduk bersebelahan dengan datuknya. Lalu bertanyakan kepada datuknya satu soalan.


"Atuk! kenapa setiap hari atuk baca Al-Qur'an?. Atuk faham ke apa yang atuk baca?". Soal si cucu kehairanan.

"Memang atuk tak faham apa yang atuk baca, cuma ada sesetengah ayat yang atuk faham". Jawab si datuk.

"Buat apa baca Al-Qur'an kalau kita tak faham?. Lebih baik tak payah baca". Si cucu bertanya lagi.

Mendengar saja soalan itu, si datuk terdiam seketika memikirkan cara yang terbaik untuk menjawab soalan cucunya itu. Si datuk amat tahu bahawa cucunya itu dan kanak-kanak sebaya dengan cucunya tidak akan mengerti sekiranya dia mengajar cucunya dengan melontarkan ayat-ayat Al-Qur'an dan hadith-hadith Rasulullah SAW.

Lalu si datuk mengambil bakul yang berisi kayu api kemudiannya memasukkan kayu api itu ke dalam unggun api. Selepas itu, si datuk menghulurkan bakul itu kepada cucunya dan meminta supaya mengambil air dari sungai yang berdekatan. Tanpa mempersoalkan permintaan datuknya itu, si cucu pergilah ke sungai untuk mengambil air dengan menggunakan bakul itu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, air di dalam bakul semakin berkurang. Apabila sampainya di rumah, didapati bakul itu sudah pun kosong. Tidak ada sedikit pun air di dalamnya. Lalu si cucu memberikan bakul itu kepada datuknya. Selepas mendapati bakul itu tidak mengandungi air, si datuk menyuruh lagi cucunya untuk mengambil air di sungai dengan menggunakan bakul yang sama. Si cucu pun pergilah ke sungai tanpa membantah. Setibanya si cucu di rumah, didapati bakul itu tetap kosong. Si datuk menyuruhnya lagi sehingga beberapa kali tapi hasilnya tetap sama. Bakul itu tidak mengandungi air walaupun sedikit. Dengan rasa hairan, si cucu pun bertanya kepada datuknya.

"Kenapa atuk suruh saya ambil air dengan bakul ni? Mana boleh ambil air dengan bakul ni sebab nanti air akan keluar melalui lubang-lubang ni". Tanya si cucu sambil menggaru kepala.

"Sebelum kamu mengambil air dengan bakul ni, macam mana keadaan bakul ni? Bersih atau kotor?. Tanya si datuk.

"Mestilah kotor". Jawab si cucu ringkas.

"Sekarang, macam mana keadaan bakul ni? Bersih atau kotor?. Tanya si datuk lagi.

"Sudah bersih". Jawab si cucu sambil memerhatikan bakul itu.

"Macam nilah keadaan hati kita jika kita sentiasa membaca Al-Qur'an. Sekiranya kita membaca Al-Qur'an walaupun kita tidak memahami langsung ayat-ayat Al-Qur'an, hati kita akan menjadi bersih. Semakin banyak kita membacanya, semakin bersih hati kita umpama mengambil air dengan bakul ni yang tadinya kotor lalu menjadi bersih walaupun tidak mengandungi sedikitpun air". Terang si datuk dengan berhikmah.

Sekarang barulah si cucu faham mengapa datuknya sentiasa membaca Al-Qur'an walaupun dia tidak memahami ayat-ayat Al-Qur'an. Si cucu juga faham kenapa datuknya sentiasa menyuruh dia membaca Al-Qur'an. Rupa-rupanya ada kesan yang positif kepada hati sekiranya membaca Al-Qur'an.


Begitulah kesudahan ceritanya...

Sebagai penutup untuk kali ini, sama-samalah kita hayati & renungi sepotong hadith Rasulullah SAW ini...

عن عبد الله بن مسعود -رضي الله عنه- يقول: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-:
من قرأ حرفاً من كتاب الله فله به حسنة، والحسنة بعشر أمثالها، لا أقول: آلم حرف، ولكن ألف حرف ولام حرف وميم حرف


Maksudnya :

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA berkata, bersabda Rasulullah SAW :
"Barang siapa yang membaca satu huruf daripada AL-Qur'an, maka baginya satu pahala. Dan satu pahala itu digandakan sebanyak sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf"


والله تعالى أعلم

No comments: